Monday 23 February 2015

upsi logo
SEKOLAH DAN MASYARAKAT
(KPS4043)

KUMPULAN 2

TAJUK:
PENDIDIKAN MODEN

DISEMAK OLEH:
ENCIK NIK MOHD ZAKI BIN NIK MOHAMED

DISEDIAKAN OLEH:
NORHIDAYU BINTI HAMERUDIN                     L20142009782
SITI JUHAINAH BINTI ABD JABAR                   L20142009783
ROBIATUL ADAWIYAH BINTI HASHIM          L20142009768
NORAZLINA BINTI MOHAMED ASMUNI        L20142009778





SEMESTER 1 2014/2015


PENDIDIKAN MODEN
Bil.                   Perkara                                                                                                Halaman
1.0                   Definisi Pendidikan Moden                                                     2
2.0                   Perkembangan sistem pendidikan                                            3-10
3.0                   Perubahan pendidikan Moden                                                 10-13
4.0                   Teori Fungsional Dalam Pendidikan Moden                            14-18
5.0                   Teori Konflik Dalam Pendidikan Moden                                             18-21
6.0                   Kesimpulan                                                                             21
                        Rujukan                                                                                   22


























1.0  Definisi Pendidikan Moden

            Dalam mencari definisi pendidikan moden terlebih dahulu pengertian “pendidikan” dan “moden” perlu diketahui.  Apa erti pendidikan? Soalan yang mudah tetapi mempunyai jawapan yang kompleks seperti dinyatakan oleh Marilyn Price-Mitchell (2014).  Kepelbagaian pendapat tokokh-tokoh terkemuka dunia berhubung pengertian pendidikan menunjukkan betapa kompleksnya pengertian pendidikan.  Antara pendapat tokoh-tokoh utama dunia tentang pengertian pendidikan adalah seperti berikut iaitu Albert Einstein (1879 – 1955) Pendidikan ialah apa yang tinggal selepas seseorang telah lupa apa yang pernah ia pelajari di sekolah dahulu.  John Dewey (1859-1952) ahli falsafah, psikologi, reformis pendidikan mendifinisikan Pendidikan bukanlah persedian untuk kehidupan bahkan pendidikan sendiri adalah kehidupanGeorge Washington Carver (1864-1943) ahli sains, botani, pendidik  pula menyatakan Pendidikan adalah kunci untuk membuka pintu keeemasan kebebasan.  Martin Luther King, Jr., (1929-1968), aktivis, aktivis kemanusiaan menyatakan Fungsi pendidikan ialah mengajar seseorang untuk berfikir secara intensif dan kritikal, bijaksana dan karakter maka itulah matlamat pendidikan sebenar.

Menurut www.oxforddictionaries.com salah satu pengertian “pendidikan” ialah suatu kata nama merujuk kepada proses menerima dan memberi arahan secara sistematik terutama di sekolah atau universiti.  Jika dilihat secara teliti pengertian pendidikan yang diberikan oleh tokoh-tokoh dunia di atas walaupun kelihatan berbeza antara satu sama lain namun masih berkisar dalam ruang lingkup pengertian pendidikan menurut kamus Oxford tersebut.  Menurut www.oxforddictionaries.com salah satu pengertian “moden” iaitu sifat yang menerangkan tentang sesuatu yang menggunakan teknik , idea atau peralatan terkini.  Daripada definisi kedua-dua perkataan tersebut maka “pendidikan moden” dapat difahami sebagai “suatu proses menerima dan memberi arahan secara sistematik terutama di sekolah dan universiti menggunakan teknik, idea atau peralatan terkini”




2.0 Perkembangan Pendidikan Moden

2.1       Sistem Pendidikan di Malaysia (1600 – 1990)
Corak pendidikan yang ada pada masa ini berbentuk bukan formal.  Ia wujud dan berkembang bersama-sama dengan pengembangan agama islam di negeri-negeri semenanjung Tanah Melayu dan Pulau Melayu pada abad ke 14.  Pedagang Arab dan India yang beragama Islam datang ke kawasan Asia Tenggara.  Di waktu itu wujudnya institusi pendidikan yang dinamakan “ sekolah pondok “. Sekolah pondok ini di bangunkan dan dimajukan bersama secara gotong royong di kalangan masyarakat setempat.  Pada abad ke 18 dan 19 di Terangganu, Kelantan dan Kedah yang paling banyak sekolah pondok.  Ramainya tokoh-tokoh agama yang muncul menyebarkan islam di semenanjung Tanah Melayu.  Sekolah pondok juga merebak  semenanjung tanah melayu termasuk Singapura.  Sebelum abad ke 20 masih belum ada sistem dan organisasi berbentuk formal.

2.1.1 Pendidikan di Waktu Penjajahan Inggeris (1800 – 1956)
Sistem pendidikan pada waktu ini adalah warisan budaya pendidikan zaman pemerintahan Inggeris.  Pada zaman ini terbentuk lima jenis persekolahan iaitu Sekolah Vernukular Melayu, sekolah Vernukular Cina, Sekolah Vernukular India, Sekolah Vernukular Inggeris dan Sekolah Agama ( Madrasah).  Ciri-ciri seperti disebutkan terbentuk kerana mengambil kira faktor folitik, ekonomi, sosio-budaya dan agama.  

2.1.2 Pendidikan Sebelum Merdeka ( 1941 – 1956 )
Waktu pemerintahan Jepun  ( 1941 hingga 1956 ) Pendidikan Tamil dan Pendidikan Melayu diteruskan dengan ditambah bahasa Jepun.  Penubuhan sekolah Nippon-Go untuk menggantikan sekolah Vernukular Cina dan Inggeris.  Pengajaran lebih ditekankan lagu-lagu klasik Jepun dan kebudayaan Jepun.  Setelah tamat Perang Dunia 1946, Inggeris kembali semula ke Tanah Melayu.  Keadaan sistem pendidikan waktu ini sangat bercelaru, orang Melayu telah mula kuat semangat nasionalisme dan masyarakat Cina, India, masih mahu kekal bermastautin di Malaya.  Selain daripada itu di kalangan orang Melayu mula timbul kesedaran untuk memajukan pendidikan.  Melalui pendidikan, ekonomi dan sosial orang Melayu ditingkatkan. 

Atas desakan dan kesedaran orang Melayu  untuk memperluaskan peluang pendidikan untuk kanak-kanak Melayu.  Kaum Melayu mula mendesak pihak kerajaan Inggeris memperbaiki keadaan pendidikan di Sekolah-sekolah  Melayu.  Maka pada tahun 1950 satu Jawatankuasa yang dipengerusikan oleh L.J Bernas telah ditugaskan untuk menyemak dan memperbaiki keadaan pendidikan orang Melayu.  Pada tahun 1951 terbentuklah Jawatankuasa L.J Bernas fokusnya kepada pendidikan orang Melayu dan membawa kepada seluruh sistem pendidikan perlu dirombak semula.

2.1.3 Perkembangan Dari Tanah Melayu ( 1970 – 1990)
Tahun-tahun diantara 1970 hingga 1990 merupakan era penyusunan semula sistem pendidikan di Malaysia .  Usaha dan tumpuan yang lebih bagi pihak kerajaan reformasi menyeluruh dalam sistem pendidikan.  Ini bertujuan bagi mencapai matlamat membina sebuah masyarakat yang bersatu padu yang mempunyai identiti sendiri.  Oleh itu dasar-dasar pendidikan ini mendokong semangat kebangsaan di kalangan masyarakat.  Penyusunan organisasi pendidikan yang selaras meliputi peringkat sekolah pada peringkat sekolah menengah dan sekolah rendah sama ada di Semenanjung, Sabah dan Serawak supaya mengikuti dasar kerajaan.  Struktur kurikulum diadakan untuk sekolah, pendidikan guru, dan pendidikan tinggi supaya wujud keseimbangan ketiga-tiga kerelevanan peringkat-peringkat dalam sistem pendidikan.

2.2       Sistem Pendidikan di Malaysia (1996 – 2014)
Akta Pendidikan 1996 memperuntukkan bahawa Sistem Pendidikan Kebangsaan merangkumi Pendidikan Prasekolah, Pendidikan Rendah, Pendidikan Menengah, Pendidikan Lepas Menengah dan Pendidikan Tinggi.  Menjadi tanggungjawab KPM untuk memberi perhatian yang serius kepada pembangunan pendidikan prasekolah di negara ini.  Akta Pendidikan 1996 memperuntukkan aspek-aspek penting mengenai prasekolah, iaitu penubuhan tadika, kuasa Menteri menubuh dan menyelenggara tadika, kurikulum prasekolah, bahasa pengantar, pengajaran Agama Islam dan sebagainya.

Dari segi pendemokrasian pendidikan, dasar yang khusus membolehkan kanak-kanak menikmati peluang pendidikan prasekolah tanpa mengira pendapatan keluarga, kawasan tempat tinggal dan kumpulan etnik termasuk kanak-kanak dengan keperluan pendidikan khas (Children With Special Education Needs).  Di antara prinsip-prinsip asas dasar ialah menyediakan kemudahan pendidikan prasekolah kepada kanak-kanak yang berumur antara 4 dan 6 tahun.  Memastikan penggunaan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan.  Guru-guru prasekolah hendaklah mempunyai latihan dalam bidang pendidikan prasekolah.  Memastikan kemudahan fizikal dan peralatan bersesuaian dan berkualiti dibekalkan.  Satu mekanisma naziran dan penyeliaan dijalankan.  Kerajaan juga memastikan semua institusi pendidikan prasekolah mematuhi Peraturan-Peraturan Pendidikan Prasekolah 1996 seperti yang diperuntukkan dalam Seksyen 24, Akta Pendidikan 1996.  Pendidikan prasekolah berkonsepkan kepada satu program yang menyediakan pengalaman pembelajaran kanak-kanak yang berumur 4 hingga 6 tahun dalam jangka masa satu tahun atau lebih sebelum memasuki ke Tahun Satu.  Dan Pendidikan prasekolah bertujuan untuk menyuburkan potensi murid dalam semua aspek perkembangan, menguasai kemahiran asas dan memupuk sikap positif sebagai persediaan masuk ke sekolah rendah.

Pendidikan di Malaysia terdiri daripada beberapa peringkat iaitu pendidikan prasekolah, pendidikan rendah, pendidikan menengah, pengajian tinggi.  Hanya pendidikan di sekolah rendah diwajibkan dalam undang-undang.  Oleh itu, pengabaian keperluan pendidikan selepas sekolah rendah tidak melanggar undang-undang. Sekolah rendah dan sekolah menengah diuruskan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia tetapi dasar yang berkenaan dengan pengajian tinggi diuruskan oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia yang ditubuhkan pada tahun 2004.  Sejak tahun 2003, kerajaan memperkenalkan penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dalam mata pelajaran yang berkenaan dengan Sains. dan matematik.

Pendidikan prasekolah terdiri daripada Sekolah tadika (prasekolah) menerima kemasukan kanak-kanak daripada 4-6 tahun.  Pengajian tadika bukan merupakan pengajian wajib dalam Pendidikan Malaysia. Namun begitu penubuhan tadika oleh pihak swasta amat menggalakkan. Setakat ini, sebahagian besar Sekolah Kebangsaan mempunyai kelas prasekolah. Namun kemasukan ke kelas ini dibuka kepada anak-anak dari keluarga berpendapatan rendah.

Pendidikan rendah bermula dari tahun 1 hingga tahun 6, dan menerima kemasukan kanak-kanak berumur 7 tahun sehingga 12 tahun.  Bahasa Melayu dan bahasa Inggeris merupakan mata pelajaran wajib dalam Sistem Pendidikan Malaysia.  Sekolah rendah awam di Malaysia terbahagi kepada dua jenis, iaitu Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Jenis Kebangsaan. Kurikulum di kedua-dua jenis sekolah rendah adalah sama.  Perbezaan antara dua jenis sekolah ini ialah bahasa pengantar yang digunakan.  Bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa pengantar di Sekolah Kebangsaan. Bahasa Tamil atau bahasa Mandarin digunakan sebagai bahasa pengantar di Sekolah Jenis Kebangsaan.  Pada akhir tahun persekolahan sekolah rendah, ujian awam diadakan bagi menilai prestasi murid-murid.  Ujian awam pada peringkat sekolah rendah dinamakan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).  Pelajar yang telah menduduki UPSR, dibenarkan melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah.

Sekolah menengah awam boleh dilihat sebagai pelanjutan sekolah rendah.  Bahasa Malaysia digunakan sebagai bahasa pengantar bagi semua mata pelajaran selain Sains (Biologi, Fizik dan Kimia) dan Matematik (termasuk Matematik Tambahan) Para pelajar perlu belajar dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5. Seperti di sekolah rendah, setiap tingkatan (darjah) mengambil masa selama satu tahun.  Pada akhir Tingkatan Tiga (digelar peringkat menengah rendah), para pelajar akan menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR). Berdasarkan pencapaian PMR, mereka akan dikategorikan kepada Aliran Sains atau Aliran Sastera. Aliran Sains menjadi pilihan ramai. Pelajar dari Aliran Sains dibenarkan untuk keluar dari Aliran Sains lalu menyertai Aliran Sastera tetapi sebaliknya tidak dibenarkan. Pelajar-pelajar yang tidak mendapat keputusan yang memuaskan pula boleh memilih untuk menjalani pengkhususan vokasional di sekolah teknik.

Pada akhir Tingkatan Lima (digelar peringkat menengah atas), para pelajar perlu menduduk peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebelum menamatkan pelajaran di peringkat menengah.  SPM adalah berdasarkan peperiksaan School Certificate United Kingdom lama sebelum menjadi peperiksaan Tahap 'O'General Certificate of Education (Kelulusan Umum Pelajaran) yang menjadi GCSE (General Certificate of Secondary School / Kelulusan Umum Sekolah Menengah).  Sejak tahun 2006, para pelajar turut menduduki kertas GCE Tahap 'O' bagi bahasa Inggeris selain kertas SPM Bahasa Inggeris biasa.  Keputusan lain ini adalah berdasarkan markah penulisan karangan dalam kertas Bahasa Inggeris SPM.  Penilaian karangan kertas Bahasa Inggeris SPM diadakan di bawah pengawasan pegawai dari peperiksaan Tahap 'O' British.  Walaupun keputusan ini bukan sebahagian daripada SPM, keputusan ini akan dinyatakan pada kertas keputusan.

Selepas keputusan SPM 2005 dikeluarkan pada Mac 2006, Kementerian Pelajaran mengumumkan bahawa mereka sedang menimbang untuk memperbaharui sistem SPM kerana orang ramai terlalu mementingkan bilangan A yang didapati. Pendidik-pendidik tempatan bersetuju dengan cadangan ini.  Salah seorang profesor di Universiti Malaya mengesali keadaan sesetengah pelajar universiti yang tidak mampu menulis surat dan berbahas.  Beliau berkata, "Mereka tidak memahami apa yang saya katakan ... Saya tidak dapat berkomunikasi dengan mereka." Tambah beliau, "Sebelum 1957, wira sekolah bukan mereka yang mendapat 8A atau 9A tetapi merupakan pembahas yang baik, pelakon yang baik, ahli sukan yang baik dan mereka yang memimpin Persatuan Pengakap."

Selepas menamatkan pelajaran di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, sesetengah pelajar dapat belajar di Sekolah Tinggi Persendirian Cina. Di sekolah jenis ini, para pelajar menduduki peperiksaan piawai yang dikenali sebagai Sijil Peperiksaan Bersama (Unified Examination Certificate/UEC).  Sesetengah pelajar di sekolah-sekolah ini turut menduduki peperiksaan SPM sebagai calon persendirian. UEC diadakan oleh Dong Jiao Zong (Persatuan Guru dan Pengarah Sekolah Cina) sejak tahun 1975.  Terdapat tiga tahap dalam UEC, iaitu Vokasional (UEC-V), Junior (UEC-JML/JUEC) dan Senior (UEC-SML/SUEC).  Bahasa Cina merupakan bahasa pengantar bagi kurikulum dan peperiksaan bagi UEC-V dan UEC-JML.  Bahasa Cina atau Bahasa Inggeris merupakan bahasa pengantar bagi mata pelajaran Matematik, Sains (Biologi, Kimia dan Fizik), Simpan Kira, Akaun dan Perdagangan.  Kesusahan UEC-SML adalah hampir sama dengan A-level kecuali Bahasa Inggeris.

Pelajar di Sekolah Tinggi Persendirian Cina belajar dari tiga tahap rendah (Junior) sehingga ke tiga tahap tinggi (Senior).  Setiap tahap mengambil masa selama satu tahun. Mereka tidak dibenarkan untuk belajar dalam tahap yang lebih tinggi jika gagal dalam peperiksaan sekolah, sebaliknya perlu mengulang.  Mereka yang gagal mara ke tahap yang lebih tinggi selepas belajar dalam tahap yang sama selama tiga tahun akan disingkirkan dari sekolah.  Oleh itu, sesetengah pelajar mengambil masa yang lebih daripada enam tahun untuk menamatkan pelajaran di Sekolah Tinggi Persendirian Cina.  Pada akhir Junior 3, para pelajar perlu menduduki peperiksaan UEC-JML. Sesetengah pelajar juga akan menduduki peperiksaan PMR. UEC-JML lebih susah daripada PMR.  Seperti pelajar di sekolah menengah awam, pelajar di sekolah tinggi persendirian Cina juga akan dikategorikan kepada aliran Sains dan aliran Perdagangan/Sastera bermula Senior 1.  Pada akhir Senior 2, sesetengah pelajar menduduki peperiksaan SPM.  Mereka mungkin meninggalkan sekolah selepas SPM. Sesetengah pelajar pula menyambung pelajaran ke Senior 3. Pada akhir Senior 3, mereka akan menduduki peperiksaan UEC-SML.

UEC-SML telah diakui sebagai kelayakan kemasukan banyak universiti luar negara seperti Singapura, Australia, Taiwan, China dan sesetengah negara Eropah tetapi tidak diakui oleh kerajaan Malaysia sebagai kelayakan kemasukan ke universiti-universiti awam Malaysia. Akan tetapi, kebanyakan kolej persendirian mengakui UEC. Pada Mei 2004, kerajaan Malaysia mewajibkan pelajar-pelajar yang menggunakan kelayakan kemasukan yang selain daripada SPM perlu lulus dalam kertas Bahasa Malaysia SPM. Ini menyebabkan banyak bantahan, dan Menteri Pengajian Tinggi ketika itu, Dr Shafie Salleh, mengecualikan pelajar UEC daripada keperluan tersebut.

Pendidikan pra-universiti yang dimaksudkan ialah selepas SPM, para pelajar dapat membuat pilihan sama ada belajar dalam Tingkatan 6 matrikulasi, pengajian diploma di pelbagai institut pendidikan seperti Politeknik.  Jika mereka melanjutkan pelajaran dalam Tingkatan Enam, mereka akan menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Tingkatan 6 yang terdiri daripada Tingkatan 6 Rendah dan Tingkatan 6 Atas mengambil masa selama dua tahun.  STPM dianggap lebih susah daripada A-level kerana merangkumi skop yang lebih mendalam dan luas.  Walaupun STPM biasanya diduduki bagi mereka yang ingin belajar di universiti awam di Malaysia, STPM turut diakui di peringkat antarabangsa.  Selain itu, para pelajar boleh memohon kebenaran untuk mengikuti program matrikulasi yang mengambil masa selama satu atau dua tahun.  Pada suatu ketika dahulu, matrikulasi hanya mengambil masa selama satu tahun. Sejak tahun 2006, 30% daripada semua pelajar matrikulasi diberikan program yang mengambil masa selama dua tahun.  90% daripada tempat matrikulasi adalah disimpan untuk bumiputera.  Program matrikulasi tidak seketat dengan STPM.  Ramai berpendapat bahawa program ini mudah daripada STPM, dan dikatakan untuk membantu bumiputera belajar di universiti dengan mudah.  Matrikulasi dikenalkan selepas kuota kemasukan universiti awam yang berdasarkan kaum dimansuhkan. 70% daripada pelajar kursus krtikal seperti perubatan, farmasi, pergigian dan perundangan ialah pelajar matrikulasi.  Sebaliknya, kebanyakan kursus-kursus seperti Sarjana Muda Sains yang kurang diminati diambil oleh pelajar STPM.  Pembela program matrikulasi mendakwa bahawa Tingkatan 6 adalah berbeza dengan program matrikulasi.  Akan tetapi, program matrikulasi dan Tingkatan Enam memainkan peranan yang sama (kelayakan kemasukan universiti).  Sesetengah pelajar menerima pendidikan pra-universiti di kolej persendirian. Mereka mungkin memilih diploma, A-level, Program Matrikulasi Kanada atau kursus yang sama dari negara lain.

Banyak subsidi diberi oleh kerajaan untuk menanggung pendidikan di universiti-universiti awam tempatan.  Pemohon memerlukan kelayakan STPM, matrikulasi atau diploma yang diiktiraf, serta kelulusan-kelulusan lain yang setara yang diiktiraf Kerajaan.  Keputusan yang baik dalam peperiksaan tidak menjamin kemasukan universiti awam.  Ini adalah kerana tempat pengajian bagi sesetengah program adalah terhad.  Contohnya, tempat untuk bidang perubatan adalah terhad dan adalah mustahil untuk universiti awam menerima semua pelajar-pelajar yang mendapat semua A dalam STPM.  Justeru, adalah penting bagi pelajar untuk mendapatkan maklumat dari pihak sekolah ketika mengisi borang permohonan.  Pada tahun 2004, kerajaan menubuhkan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysiauntuk mengawasi pendidikan pengajian tinggi.  Kementerian ini dipimpin oleh Mustapa Mohamed pada ketika itu.  Kini, KPT telah bergabung bersama dengan Kementerian Pelajaran Malaysia bagi membentuk Kementerian Pendidikan Malaysia yang diterajui oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kebebasan akademik fakulti universiti umum telah diragui.  Pengkritik seperti Bakri Musa menggunakan contoh seperti ahli sains ditegur oleh Timbalan Perdana Menteri, Najib Razak kerana menerbitkan "kajian mengenai pencemaran udara".  Para pelajar juga dapat membuat pilihan untuk pergi ke institusi swasta bagi pendidikan peringkat tinggi.  Banyak institusi memberi kursus dengan bekerjasama dengan institut atau universiti di luar negeri. B Sesetengah universiti di luar negeri pula membuka cawangan di Malaysia.  Aliran keluar mereka yang cemerlang dari Malaysia menyebabkan Perdana Menteri pada masa itu (1995), Tun Dr Mahathir Mohamed melancarkan program menarik mereka pulang ke kampung halaman.  Matlamat rancangan ini adalah untuk menarik 5000 orang yang cemerlang setiap tahun.  Pada tahun 2004, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata dalam jawapan parlimen bahawa rancangan ini telah menarik 94 ahli sains (24 orang Malaysia) dalam bidang farmakologi, perubatan, teknologi semikonduktor dan kejuruteraan dari tahun 1995 hingga 2000.  Semasa jawapan ini diberikan, hanya seorang masih berada di Malaysia. Selain itu, terdapat juga Institut Pendidikan Guru Malaysia yang menawarkan program ijazah sarjana muda perguruan dan politeknik yang menawarkan kursus diploma dan sijil bagi yang berminat. Terdapat juga kajian yang dilakukan mengenai Sistem penilaian prestasi pelajar.  Secara keseluruhannya sistem pendidikan di Malaysia dilihat sentiasa mengalami perubahan mengikut kesesuaian dan keadaan semasa.

3.0       Perubahan Dalam Pendidikan Tradisional Kepada Moden
 
Sistem pendidikan tradisional yang wujud dan bertahan di alam melayu selama beberapa abad telah banyak memberi sumbangan kepada peradaban melayu.  Sistem tersebut berjaya mengeluarkan generasi yang bukan sekadar berjaya dalam akademik tetapi juga mempunyai nilai moral yang tinggi.  Antara ciri-ciri pendidikan tradisional pada masa dahulu ialah dari aspek pendidikan moral.  Dari aspek ini pendidikan klasik atau tradisional lebih menanamkan humanisme atau sifat manusiawi yang menggunakan kekerasan dalam pendidikan.  Selain itu, dari aspek fungsi guru pula dilihat guru banyak memberi dan menyampaikan segala maklumat kepada para pelajar secara langsung dan guru dilihat sebagai rujukan utama para pelajar.  Cara penyampaian bersifat satu hala di mana tidak ada ruang perbincangan.  Sistem pendidikan Malaysia menghukum anak-anak yang tidak mendapat pencapaian baik dalam ujian tahunan di mana mereka dikumpulkan ke dalam kelas yang sama pada tahun berikutnya. Hal kerana dalam kelas tersebut ada yang memang tidak minat belajar dan menganggu hasrat mereka yang ingin berjaya  tetapi memerlukan lebih perhatian dari guru Guru-guru memberi lebih perhatian kepada kelas teratas sedangkan yang memerlukan perhatian adalah kelas bawahan.
 
Guru-guru memberi lebih penekanan kepada penghafalan atau memori dan latihan bertubi-tubi dari memastikan pelajar memahami konsep atau asas sesuatu topik serta memberi sebab mereka perlu mempelajari sesuatu topik bukan hanya subjek. Contohnya, apabila cikgu mengajar topik elektrolisis, guru perlu memberi contoh aplikasi topik itu di dalam industri masa kini ibubapa tidak dipaksa untuk menandatangani kerja rumah anak-anak mereka  Pihak sekolah tidak memanggil ibubapa yang mempunyai anak yang bermasalah dalam pelajaran mereka setiap penggal.  Selain daripada itu dari aspek penerapan etika wajib diterapkan di dalam kelas dan di luar sekolah.  Pada zaman ini pada umumnya merupakan pendidikan yang tidak menekankan soal formal.  Penekanan hanyalah kepada pengajaran kitab suci Al-Quran, tingkah laku dan akhlak yang baik, pengetahuan dan juga sifat kerohanian. Pada amnya pendidikan tradisi ini mempunyai kurikulum yang terlalu sempit kerana pelajaran adalah terhad kepada teks Al-Quran sahaja.  Namun, kelebihan yang boleh diperolehi daripada aspek pengajaran sebegini ialah ia telah berjaya mewujudkan ramai tokoh agama yang bukan sahaja terkenal dalam bidang agama, tetapi juga mempunyai tahap etika yang amat tinggi. 
  

Berdasarkan kenyataan yang telah diterangkan berkaitan sejarah pendidikan di Tanah Melayu, dapat dibuat kesimpulan bahawa pendidikan pada zaman dahulu amat mengambil berat aspek mengagungkan tanah air sendiri. Contohnya pendidikan Cina yang berorientasikan negara asal mereka iaitu China, manakala pendidikan India pula berasaskan negara India. Selain itu, pendidikan zaman dahulu juga menitikberatkan aspek kecenderungan terhadap agama, seperti kewujudan sekolah-sekolah pondok untuk mengajar Al-Quran dan hal-hal berkaitan dunia akhirat. Selepas kemasukan kurikulum berasaskan British, maka berlakulah rombakan terhadap sistem pendidikan asal yang diamalkan sebelum ini. Walau bagaimanapun, masih lagi terdapat beberapa kelemahan dalam sistem pendidikan yang dianjurkan oleh British.  Maka, wujudlah beberapa laporan yang bertujuan untuk memperbaiki sistem pendidikan British ini seperti Laporan Fenn-Wu 1951, Ordinan Pelajaran, Dasar Pelajaran Kebangsaan dan Laporan Razak 1956.


3.1.1    Pendidikan Zaman Moden

Pendidikan moden berlaku akibat perubahan yang beransur-ansur dalam sistem pendidikan tradisional.  Pendidikan moden juga berdasarkan kepada prinsip-prinsip Dinul Islam itu sendiri iaitu membentuk akidah, sikap, kemahiran, keperibadian dan pandangan hidup sebagai hamba Allah yang mempunyai tanggungjawab untuk membangunkan diri, masyarakat, alam sekitar dan negara ke arah mencapai kebaikan (al-falah) di dunia, kesejahteraan abadi dan mendapat keredaan Allah di akhirat.  Pendidikan moden juga mempunyai beberapa ciri iaitu dari aspek pendidikan moral.  Dari aspek ini murid-murid diberi penanaman dengan cara anti kekerasan.  Guru juga bertindak sebagai motivator atau fasilitator yang sentiasa mengikuti perkembangan para pelajar dan menegur kesilapan dengan cara lebih kepada konsep kawan.  Guru dilarang menggunakan kekerasan kepada pelajar dan jika ia berlaku guru berhak diambil tidakan.  Guru juga masih menerapkan nilai-nilai estetika dan ia bergantung kepada penerimaan para pelajar.  Dari segi hukuman dan ganjaran guru dilihat mesti menggunakan konsep keharmonian dan sikap toleransi yang tinggi antara guru dan pelajar. 


Bermula selepas Malaysia memperolehi kemerdekaan daripada pihak British, sistem pendidikan negara mula mencapai tahap reformasi secara beransur-ansur. Dalam Rancangan Malaysia Pertama (RM1) hingga Rancangan Malaysia Ketujuh (RM7), aspek pendidikan sentiasa menjadi agenda utama bagi setiap intipati dalam resolusi yang telah dibuat.  Kerajaan sentiasa mencari formula baru bagi memastikan para pelajar yang keluar dari institusi pendidikan akan menjadi seorang individu yang mampu memberikan sumbangan maksimum terhadap kemajuan negara. Pendidikan prasekolah, Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR), Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM), pendidikan peringkat tinggi, pendidikan guru, pendidikan vokasional dan teknik serta pendidikan swasta sentiasa dikaji bagi mengesan sebarang kelemahan yang boleh menyebabkan kegagalan mencapai objektif yang telah ditetapkan.  Pada zaman ini Sistem Pendidikan Kebangsaan diperkemas sejajar dengan perkembangan dunia teknologi maklumat. Dengan mengambil kira pelbagai perubahan dan cabaran alaf ke-21, penambahbaikan dan pemantapan sistem pendidikan diperlihatkan dalam perundangan, dasar dan program utama, antaranya: Akta Pendidikan 1996 (Pindaan 2002); Program Bimbingan dan (Keputusan Jemaah Menteri, 2002); Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris dilaksanakan pada tahun 2003 (Keputusan Jemaah Menteri, 2002). Bayaran Insentif Subjek Pendidikan (BISP) diperkenalkan pada tahun 2003; Program j-QAF diperkenalkan pada tahun 2005 dan diperluaskan pada tahun 2006 bagi memastikan murid Islam menguasai Jawi, Al-Quran, Bahasa Arab dan Fardu Ain apabila tamat sekolah rendah (Keputusan Jemaah Menteri, 2003); dan banyak lagi program-program pendidikan diperluas.
Perubahan paling signifikan dalam sejarah perkembangan pendidikan negara ialah penubuhan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPTM) pada tahun 2004. Dengan pembahagian ini KPM dipertanggungjawabkan kepada pembangunan pendidikan prasekolah, sekolah rendah, sekolah menengah, matrikulasi dan pendidikan guru.  Kerajaan telahpun membuat beberapa cadangan untuk melakukan transformasi dalam aspek pendidikan di sekolah-sekolah.  Dengan pesatnya kemajuan teknologi maklumat pada dekad kebelakangan ini, pendidikan negara juga tidak mahu ketinggalan dalam menyerapkan teknologi ini dalam menyediakan para pelajar yang bukan sahaja mempunyai ilmu pengetahuan, malah juga mampu mengaplikasikan teknologi maklumat bagi kemudahan umat sejagat. Kerajaan dengan bantuan daripada organisasi-organisasi gergasi dalam bidang teknologi maklumat telah berjaya menyenaraikan beberapa resolusi dalam memastikan pendidikan alaf akan datang mampu diaplikasikan sepenuhnya tanpa mengenepikan aspek tatasusila dan etika pelajar.

Salah satu daripada resolusi yang telah dibuat ialah mewujudkan mata pelajaran berkonsepkan teknologi maklumat, seperti pengenalan kepada komputer dan juga pengaplikasian teknologi maklumat terhadap kehidupan. Kerajaan turut bercadang untuk mendedahkan para pelajar dengan aplikasi internet serta mel elektronik bagi membiasakan mereka menggunakannya untuk tujuan menghantar kerja sekolah atau membuat rujukan. Walaupun banyak resolusi yang telah dibentuk, kerajaan tetap meletakkan aspek etika pelajar di tempat yang paling atas sekali.  Ini bagi memastikan setiap pelajar bukan sahaja menjadi pakar dalam bidang teknologi maklumat, malah mempunyai etika dan disiplin yang amat diperlukan untuk menerajui negara pada masa akan datang.




4.0          Teori Fungsionalisme Dalam Pendidikan
http://2.bp.blogspot.com/-PB9NVuE-HIk/ThX78sVNkeI/AAAAAAAAAEM/V7gp8lgy6yo/s1600/durkheim.jpghttp://2.bp.blogspot.com/-8TH6r_-FvtQ/ThX78JZbv7I/AAAAAAAAAEI/KaYI20aWhLE/s320/herbert-spencer-1-sized.jpg
Emile Durkheim              Herbert Spencer

Masyarakat selalu dianggap seperti tubuh badan manusia yang mempunyai bahagian- bahagian dengan fungsi-fungsi yang tersendiri.  Teori fungsionalisme memberi penjelasan mengenai organisasi sosial dan menerangkan bagaimana sesuatu organisasi itu dipertahankan. Menurut teori ini, struktur-struktur sosial akan menentukan keharmonian masyarakat. Pengkaji-pengkaji telah merumuskan tiga andaian iaitu stabiliti, harmoni dan evolusi.  Stabiliti merupakan kriteria penilaian utama untuk menentukan sejauh mana sesebuah masyarakat dapat dikekalkan.  Harmoni menunjukkan bagaimana semua bahagian dalam masyarakat bekerjasama untuk mencapai tujuannya.Evolusi pula menggambarkan perubahan-perubahan yang berlaku kepada masyarakat melalui proses yang diadaptasikan daripada struktur sosial kepada pembaharuan.  Maka, tidak dapat dinafikan lagi bahawa ibu bapa, pihak sekolah, rakan sebaya dan media massa mesti memainkan peranan yang penting dalam mengatasi masalah jenayah yang wujud di kalangan remaja pada masa kini untuk memastikan suasana di dalam dan di luar sekolah lebih harmoni. Teori ini biasanya digunakan secara survey atau tinjauan yang telah disediakan berdasarkan kaji selidik (questionnaire).  Teori ini banyak digunakan di institusi atau sekolah-sekolah di Malaysia.

Durkheim juga sangat tertarik akan pendidikan. Hal ini sebahagian karana ia secara profesional dilakukan untuk melatih guru, dan ia menggunakan kemampuannya untuk menciptakan kurikulum untuk mengembangkan tujuan-tujuannya untuk membuat sosiologi diajarkan seluas mungkin. Lebih luas lagi, Durkheim juga tertarik pada bagaimana pendidikan dapat digunakan untuk memberikan kepada warga Prancis seperti latar belakang sekular bersama yang diperlukankan untuk mencegah anomi (keadaan tanpa hukum) dalam masyarakat moden.  Dengan tujuan inilah ia mengusulkan pembentukan kelompok-kelompok profesional yang berfungsi sebagai sumber solidari bagi orang-orang dewasa.

Durkheim berpendapat bahawa pendidikan mempunyai banyak fungsi iaitu memperkuat solidaritas sosial dari aspek sejarahnya ialah belajar tentang orang-orang yang melakukan hal-hal yang baik bagi membuatkan hidup seseorang individu merasa tidak bererti. Menyatakan kesetiaan iaitu membuat individu merasa sebahagian dari kelompok dan dengan demikian akan mengurangi kecenderungan untuk melanggar peraturan.  Keduanya ialah mempertahankan peranan sosial iaitu sekolah adalah masyarakat dalam bentuk miniatur. Sekolah mempunyai hierarkhi, aturan, tuntutan yang sama dengan "dunia luar".  Sekolah mendidik orang muda untuk memenuhi berbagai peranan.  Fungsi yang ketiganya ialah mempertahankan pembahagian kerja iaitu membahagi-bahagi siswa ke dalam kelompok-kelompok  kecakapan.  Mengajar siswa untuk mencari pekerjaan sesuai dengan kecakapan mereka.

4.1       Menganalisis Isu 

a)  Sinopsis Isu 
Tajuk keratan akhbar: 56 pelajar di Perak dikesan terbabit Black Metal. 

Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak diberitahu bahawa seramai 56 pelajar sekolah menengah dan dua belia lepasan sekolah telah dikesan terbabit dengan kegiatan Black Metal yang memuja syaitan.  Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Tenaga Manusia, Belia dan Sukan Negeri, Datuk Jamal Nasir Rasdi  berkata pelajar dari daerah Ipoh adalah paling ramai terlibat dalam gejala ini. Tambahnya hasil dari soal siasat didapati pelajar terpengaruh melalui minat muzik Black Metal, mengumpul aksesori, menerbitkan majalah dan membuat rakaman kaset lagu-lagu Black Metal serta ajakan rakan-rakan sebaya. 

Beliau juga memberitahu bahawa berbagai tindakan telah diambil oleh pihak berkuasa untuk menangani isu tersebut.  Di antaranya ialah menyoal siasat pelajar dan belia yang terlibat ; diberi kaunseling dan kesedaran agama; pihak polis juga memaklumkan penglibatan tersebut kepada Jabatan Pendidikan dan Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) termasuk di peringkat daerah ; penolong kanan dan guru disiplin dari 55 buah sekolah menengah diarahkan  untuk membuat pemeriksaan ke atas tubuh badan pelajar, buku dan beg sekolah bagi mengesan tanda dan lambing Black Metal; ketua pengarah pendidikan akan menubuhkan satu jawatankuasa yang membabitkan agensi-agensi kerajaan untuk menjalankan tindakan bersepadu; KDN Perak telah melancarkan operasi di Kompleks Yik Fong dan membuat rampasan beberapa barangan Black Metal.
b)  Analisis isu  
Analisis isu berdasarkan satu teori sosiologi.

Isu yang dipaparkan dalam keratan akhbar 20hb Nov 2000 telah mengesahkan tentang masalah pelajar yang terbabit dalam Black Metal. Isu tersebut boleh dihuraikan mengikut Teori Fungsionalisme yang telah diasaskan oleh Comte, Spencer dan Durkheim. Antara tokoh-tokoh berkenaan, Durkheimlah yang banyak memberi huraian tentang pendidikan.  Mengikut Spencer masyarakat adalah satu.  Setiap keluarga juga boleh dikategorikan sebagai satu.  Masyarakat memerlukan ketua bagi mengendalikan proses mobilisasi masyarakat seperti pemimpin, imam, penghulu, guru dan lain-lain.  Secara umum teori fungsionalisme menganalisis pendidikan dengan menghubungkan sekolah kepada keperluan-keperluan masyarakat. Untuk masyarakat berfungsi , mestilah ada cara yang memastikan semua keperluan – keperluan dipenuhi, maka disinilah pendidikan memainkan perananya.  Pihak Pendidik harus memberikan kesedaran kepada pelajar-pelajar tentang kesan yang akan timbul akibat penglibatan diri mereka dalam Black Metal.  Untuk membangkitkan rangsangan kaum remaja menyertai kumpulan ini, muzik Black Metal dijadikan teras lalu diiringi dengan amalan seks rambang yang memangnya menjadi buruan mereka yang tidak mempunyai pegangan hidup.  Faktor menyebabkan seseorang itu terlibat dengan kegiatan seperti ini mungkin berbeza, walaupun demikian ia boleh dibahagikan kepada dua punca utama, iaitu faktor dalaman dan luaran.  Faktor dalaman, ialah kerana tidak adanya pemahaman agama. Seseorang yang memahami agama,yang tahu bahawa murtad adalah terkeluar daripada Islam dan tempatnya kekal di neraka,biar betapa jahat dan rakus kehidupannya. Faktor luaran yang menyebabkan mereka terlibat dalam Black Metal ialah situasi keluarga yang selalu mengalami kacau bilau, bergaduh, tidak stabil dan selalu menyaksikan pertengkaran antara ibu bapa.  Sikap mementingkan diri masing-masing merupakan satu lagi perkara yang membuatkan pelajar tidak berkesempatan untuk berbincang, mengadu hal dan sentiasa memendam rasa mengenai sesuatu perkara.  Keadaan ini membawa kesan negatif apabila berjumpa dengan kawan-kawan yang mengambil berat dirinya, kawan yang boleh bekerjasama dengannya, ditambah pula mempunyai kawan yang sentiasa menghargai dan memerlukanya, maka pelajar ini mengalihkan perhatian kepada kumpulan rakannya. 

Ahli-ahli fungsionalisme menyatakan bahawa setiap bahagian masyarakat mempunyai tujuan-tujuan dan keperluan-keperluan yang tersendiri. Mengikut Brinkerhoff dan White (1989) terdapat tiga andaian utama ahli-ahli fungsionalisme iaitu stabiliti, harmoni dan evolusi.  Stabiliti merupakan kriteria penilaian utama untuk menentukan sejauh mana sesebuah masyarakat dapat dikekalkan.  Harmoni menunjukkan bagaimana semua bahagian atau struktur-struktur dalam masyarakat bekerjasama untuk mencapai tujuannya.  Evolusi pula menggambarkan perubahan-perubahan yang berlaku kepada masyarakat melalui proses adaptasi struktur sosial kepada pembaruan. 

Dalam mewujudkan masyarakat yang harmoni, pihak agensi kerajaan perlu memainkan peranan yang penting bagi menangani masalah ini. Ceramah serta taklimat berkaitan gejala Black Metal di peringkat sekolah adalah antara cadangan dalam satu laporan khas yang dikemukakan kepada Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat, Datuk Dr. Siti Zaharah Sulaiman.  Malah Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (Utusan Malaysia 29 Jualai 2001) di Kepala Batas juga menggesa semua pihak termasuk ibu bapa, pihak berkuasa tempatan (PBT), polis serta agensi penguat kuasa lain bekerjasama untuk membanteras pelbagai gejala sosial yang semakin meruncing negara ini.  Menurut beliau gejala sosial dan buruk yang semakin meruncing ini tidak boleh ditangani dan diatasi oleh satu pihak sahaja. Menteri di Jabatan Perdana Menteri Brig Jeneral (B) Datuk Zainal Abidin Abdul Hamid Berkata tindakan bersepadu  yang melibatkan Kementerian Dalam Negeri, Kementerian  Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat, Bahagian Keselamatan Negara dan Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) akan mengambil langkah-langkah yang sewajarnya dalam menangani gejala Black Metal yang dilihat menjejaskan akidah di kalangan pelajar dan remaja Islam di negara ini. 

Kesimpulannya teori fungsionalisme memerlukan perseimbangan dan memerlukan adaptasi. Durkheim percaya bahawa kewujudan institusi pendidikan adalah  untuk mempromosi dan mengekalkan ikatan sosial dan perpaduan. Fungsionalisme melihat individu sebagai tidak penting dalam menentukan apa yang sesuai untuk dirinya. Pendidikan bukanlah untuk membentuk potensi dan kebolehan individu bagi dirinya tetapi adalah untuk kepentingan masyarakat.  Sekolah mesti memberikan gambaran kepada kanak-kanak tentang masyarakat yang bakal disertainya.  Sekolah mesti mengamalkan cara hidup komuniti untuk menyediakan kanak-kanak kepada masyarakat yang lebih besar. Murid-murid perlu didedahkan tentang kehendak-kehendak masyarakat mereka. Harapan sekolah ialah melahirkan individu-individu yang sanggup dan akan berkongsi nilai-nilai sejagat masyarakat yang seterusnya menjamin keberlangsungan masyarakat itu.

5.0       KAITAN TEORI KONFLIK DENGAN PENDIDIKAN MODEN
5.1.1    TeoriKonflik
Menurut teori konflik, perlakuan manusia dalam konteks social adalah hasil konflik di antara kumpulan-kumpulan terlibat yang bersaing.  Walaubagaimanapun ada pemikir lain yang mengemukakan versi teori konflik  yang berbeza. Menurut versi ini teori konflik merujuk kepada “kumpulan social berbeza yang mempunyai kuasa tidak sama di mana semua kumpulan berusaha untuk mendapatkan sumber yang terhad”.  Teori konflik telah digunakan untuk menerangkan tentang pelbagai perlakuan manusia termasuklah amalan-amalan dalam bidang pendidikan (http://www.chegg.com/)
5.1.2    Hubungkait Teori Konflik dengan Isu-Isu Pendidikan Moden
Teori konflik telah digunakan dalam menerangkan pelbagai perlakuan manusia.  Apa yang berlaku dalam pendidikan moden mempunyai hubungkait dengan perlakuan manusia. Oleh itu penulis berpendapat bahawa teori konflik boleh digunakan untuk menerangkan tentang apa yang berlaku dalam pendidikan moden.
5.1.3    Isu Gejala Sosial di Kalangan Pelajar
Pendidikan moden tidak boleh dipisahkan dengan persoalan akhlak pelajar. Isu berkaitan akhlak merupakan isu berkaitan perlakuan pelajar yang merunsingkan banyak pihak.  Ini kerana keruntuhan akhlak pelajar bermaksud suatu musibah kepada pendidikan negara.  Ia bertentangan dengan falsafah pendidikan kebangsaan yang ingin melahirkan rakyat yang mempunyai akhlak terpuji.  Dalam hal ini teori konflik boleh digunakan untuk menerangkan tentang masalah tersebut dan seterusnya mencari jalan penyelesaian yang terbaik.  Para pelajar yang terlibat dengan masalah akhlak berdepan dengan konflik sosial.  Walaupun mereka dididik dengan akhlak yang baik di sekolah namun mereka terdedah dengan pengaruh akhlak buruk melalui pelbagai isu bersama ada melalui media massa, media sosial, pengaruh rakan dan sebagainya.  Konflik di antara elemen positif dan negatif  yang dialami pelajar akan menentukan akhlak pelajar tersebut.  Bagi yang terjebak dengan gejala sosial atau akhlak buruk, ini bermakna pengaruh negatif lebih dominan ke atas mereka.
5.1.4    IsuTekanan di KalanganPelajar
Salah satu elemen penting dalam pendidikan moden adalah untuk melahirkan pelajar yang sihat dan cerdas. Kesihatan pelajar berkait rapat dengan kesihatan mental dan fizikal serta emosi mereka.  Pendidikan moden pada ketika ini dilihat begitu member tekanan kepada pelajar. Bebanan subjek serta tugasan pembelajaran yang banyak menimbulkan kesan negatif kepada pelajar sehingga ada yang sanggup membunuh diri kerana kecewa dalam pelajaran.  Bagi mereka yang ingin memahami situasi ini teori konflik boleh membantu menerangkannya.  Situasi ini timbul kerana wujudnya konflik di antara keupayaan pelajar dengan keperluan pelajaran.  Misalnya bagi ibu bapa yang mahu melihat anaknya menjadi seorang jurutera mereka akan berusaha sedaya upaya untuk memberikan apa sahaja keperluan untuk tujuan tersebut tanpa memikirkan keupayaan anak mereka. Walaupun segala keperluan sudah tersedia tetapi pelajar berhadapan dengan masalah ketidakmampuan.  Pelajar tidak mampu untuk menanggung segala apa yang diperlukan untuk menjadi seorang pelajar kejuruteraan.  Maka berlakulah konflik yang membawa kepada masalah tekanan.   Jika tidak di atasi, masalah tekanan ini akan semakin parah dan menjejaskan kesihatan pelajar.
5.1.5    Isu Tekanan di Kalangan Guru
Guru merupakan individu terpenting dalam menjayakan wawasan pendidikan moden. Falasafah pendidikan kebangsaan serta kurikulum yang dirangka tidak dapat direalisasikan tanpa peranan guru.  Kecemerlangan pendidikan moden berkaitrapat dengan kecemerlangan guru.  Kecemerlangan guru pula berkaitrapat dengan tahapkesihatan yang baik seseorang guru.  Tekanan yang dialamai oleh guru akan menjejaskan kesihatan mereka dan seterusnya turut mempengaruhi prestasi mereka. Teori konflik boleh digunakan dalam menerangkan keadaan guru yang mengalami tekanan.  Ini kerana guru yang mengalami tekanan berkemungkinan berhadapan dengan  suatu konflik yang sukar baginya untuk menyelesaikannya.  Misalnya konflik boleh berlaku di antara tuntutan kerja dengan minat seseorang guru.  Jika seseorang guru tidak berminat dengan kerjaya guru dan dalam masa yang sama bebaban tugas yang banyak pastinya ini akan mencetuskan tekanan yang hebat.
5.1.6    Isu Perpaduan Kaum          
Dalam usaha pembangunan pendidikan moden soal perpaduan kaum sangat dititik beratkan. Pelbagai usaha dibuat untuk melahirkan rakyat yang bersatupadu, hormat menghormati dan bertoleransi di antara satu kaum dengan kaum yang lain. Walaupun ada usaha-usaha kearah itu namun isu-isu yang menggugat perpaduan kaum tetap berlaku tidak terkecuali para pelajar.  Dalam hal ini teori konflik boleh digunakan sebagai salah satu kaedah untuk menerangkan bagaimana isu-isu perkauman ini boleh berlaku.  Tuntutan perpaduan dengan keperluan untuk memperjuangkan kepentingan kaum sendiri boleh mencetuskan konflik seterusnya menggugat usaha-usaha perpaduan kaum.
5.1.7    Isu Pelajar Bertaraf Dunia
Pendidikan moden pastinya ingin melahirkan individu yang mempunyai ilmu pengetahuan bertaraf dunia. Salah satu aspek penting dalam usaha mencapai matlamat ini perlu kepada penguasaan Bahasa antarabangsa yang dijadikan Bahasa penulisan dalam jurnal-jurnal atau makalah-makalah ilmiah di peringkat antarabangsa.  Walaupun usaha ini dilihat suatu usaha murni yang perlu disokong namun kaedah pelaksanaannya mungkin boleh mencetus kankonflik.  Misalnya idea PPSMI dengan matlamat untuk melahirkan golongan cerdik pandai bertaraf dunia serta menguasai Bahasa Inggeris dengan baik akhirnya berkubur begitu sahaja hasil daripada konflik yang berlaku berhubung kaedah pelaksanaannya.  Teori konflik merupakan salah satu kaedah yang dapat membantu menerangkan tentang apa yang berlaku dalam isu PPSMI. Jika pihak yang terlibat dalam konflik berbincang untuk mencari kaedah pelaksanaan yang terbaik dan dapat mengurangkan konflik pastinya usaha dapat diteruskan.

6.0       Kesimpulan

Setelah mengetahui segala kronologi pendidikan sejak zaman sebelum penjajahan British hinggalah zaman selepas merdeka, kita dapat membuat kesimpulan bahawa banyak perkembangan telah dilakukan terhadap sistem pendidikan negara.  Bermula daripada sistem yang berorientasikan kepada bangsa dan agama sendiri kepada sistem pendidikan yang menitik beratkan aspek pendidikan berteknologi tinggi. Walaupun banyak perubahan yang telah dijanakan oleh kerajaan, namun aspek etika tidak pernah ditinggalkan begitu sahaja. Setiap perancangan akan mengambil kira etika moral dan disiplin setiap individu pelajar untuk menjadikan mereka insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.

Namun, di sebalik usaha-usaha murni tersebut, tersembunyi beberapa kelemahan yang secara tidak langsungnya akan menyebabkan barah yang lebih besar sekiranya tidak ditangani secara total oleh pihak kerajaan. Usaha menyembuhkan barah ini memerlukan pengorbanan daripada seluruh rakyat yang mengaku dirinya seorang warganegara yang berdisiplin dan berhemah tinggi. Hanya dengan cara ini sajalah perkembangan pendidikan akan selaras dengan perkembangan etika para pelajar yang semestinya perlu diberi didikan yang sempurna demi mencapai taraf individu yang berjaya.




 
 
 
 
 
 
 
RUJUKAN
 
http://www.scribd.com/doc/87217124/Teori-Konflik-Dalam-Pendidikan-Moden
Abdullah Sani Yahaya (2003). Perkembangan Pendidikan di Malaysia. Bentong, Pahang: PTS Pub & Distributor Sdn. Bhd.
 
Ibrahim Saad (1990). Perubahan Pendidikan Di Malaysia Satu Cabaran. Kuala Lumpur.
 Dewan Bahasa Dan Pustaka.
 
Suffean Hussin (1996). Pendidikan Di Malaysia: Sejarah, Sistem Dan Falsafah. Kuala
 Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka. Selangor.

 

No comments:

Post a Comment