Saturday 10 January 2015

1. KAJIAN KES - C.PENULISAN

PENGARUH STATUS SOSIO-EKONOMI DAN FAKTOR-FAKTOR LAIN TERHADAP PENCAPAIAN MURID SEKOLAH: KAJIAN KES KE ATAS SEORANG MURID SEKOLAH RENDAH

BAB I    PENDAHULUAN

1.1         Pengenalan

               Sering kita dengar bahawa murid-murid sekolah merupakan aset paling berharga sesebuah negara. Bagi penulis murid-murid sekolah bukan setakat aset bahkan ia lebih daripada itu. Murid-murid sekolah merupakan khalifah-khalifah kecil yang perlu dijaga dari pelbagai aspek terutama aspek pendidikan. Merekalah yang bakal  mewarisi kepimpinan serta segala jentera dalam pentadbiran dan pembangunan masyarakat dan negara pada masa akan datang.


Justeru pencapaian pendidikan murid-murid sekolah perlu dilihat sebagai suatu perkara asas yang amat penting untuk dijaga. Kesedaran seumpama ini harus disusuli dengan usaha-usaha penyelidikan bagi mengenalpasti faktor-faktor yang boleh memperkasakan usaha ke arah memberikan pendidikan terbaik kepada murid-murid sekolah.

Kajian-kajian bagi mengenalpasti faktor-faktor yang mempengaruhi pencapaian murid-murid sekolah sememangnya amat mustahak agar usaha-usaha untuk mempertingkatkan pencapaian mereka dalam pelajaran dapat dilakukan dengan berkesan. Jika dihalusi bahawa usaha-usaha pembangunan negara bagi meningkatkan tahap pendidikan, ekonomi dan sebagainya mempunyai hubungan rapat dengan usaha untuk meningkatkan pencapaian pelajaran murid-murid sekolah.

1.2         Permasalahan Kajian

               Pencapaian murid sekolah adalah suatu perkara yang diberikan perhatian dalam masyarakat baik oleh murid, ibubapa, guru, pemimpin masyarakat dan sebagainya. Walaupun murid sekolah diberikan peluang yang sama dalam aspek pendidikan namun pencapaian mereka berbeza-beza. Sukatan pelajaran, kandungan peajaran, tenaga pengajar, masa belajar yang sama namun pencapaian tetap berbeza. Ada murid yang cemerlang, sederhana, dan lemah. Oleh kerana murid-murid datang dari pelbagai latar belakang sosio-ekonomi yang berbeza maka kajian ini dirasakan perlu dilakukan untuk mengetahui samada latar belakang sosio-ekonomi dan faktor-faktor lain mempunyai pengaruh terhadap pencapaian seseorang murid sekolah.

1.3         Objektif Kajian

1.3.1   Mengetahui kaitan di antara status sosio-ekonomi dangan pencapaian murid sekolah rendah.
1.3.2   Mengatahui samada faktor keluarga mempengaruhi pencapaian murid sekolah rendah.
1.3.3   Mengetahui samada sikap murid sendiri mempengaruhi pencapaian mereka di sekolah.

1.4         Persoalan Kajian

1.4.1   Adakah status sosio-ekonomi mempengaruhi pencapaian murid sekolah rendah?
1.4.2   Apakah faktor  keluarga mempengaruhi pencapaian murid sekolah rendah?
1.4.3   Apakah sikap murid sendiri mempengaruhi pencapaian mereka di sekolah?

1.5         Kepentingan Kajian

               Kajian seumpama ini memang sangat diperlukan. Walau bagaimanapun kaedah penyelidikan yang terbaik perlu dicari agar dapatan yang diperolehi boleh dipercayai dan boleh dijadikan asas dalam pembangunan berkaitan. Sekiranya hipotesis yang mengatakan bahawa status sosio-ekonomi mempunyai pengaruh terhadap pencapaian murid sekolah maka usaha untuk memperkasa pendidikan perlu berjalan seiring dengan pembangunan sosio-ekonomi rakyat. Di sinilah letaknya kepentingan kajian-kajian seumpama ini.

1.6         Metodologi Kajian

1.6.1   Kaedah Kajian

               Kajian ini melibatkan dua kaedah iaitu kaedah kajian kepustakaan dan kaedah kajian lapangan. Kaedah kajian kepustakaan digunakan bertujuan untuk memperolehi data-data atau maklumat-maklumat penting berkaitan kajian ini. Manakala kajian lapangan digunakan untuk memperolehi data utama berkaitan status sosio-ekonomi, faktor-faktor yang mempengeruhi prestasi pelajar serta prestasi pelajar menurut sistem KBSR.

1.6.2   Sampel Kajian

               Kajian ini merupakan suatu kajian ringkas dan mudah. Ia hanya melibatkan seorang murid sekolah rendah sebagai responden.

1.6.3   Instrumen Kajian

               Borang soal selidik merupakan instrumen utama yang telah digunakan  bagi memperolehi data-data yang diperlukan dalam kajian ini.

1.6.4   Pengumpulan Data dan Analisis

               Terdapat dua jenis data yang telah dikumpul daripada responden. Data yang pertama iaitu pencapaian pelajaran responden berdasarkan rekod pencapian UPKK Tahun 5. Manakala data yang kedua iaitu data yang diperolehi melalui soal selidik iaitu data berkaitan faktor-faktor yang mempengaruhi pencapaian pelajaran responden. Memandangkan kajian ini hanya melibatkan seorang responden maka analisis yang tela dilakukan tertumpu kepada perihal responden secara spesifik dan tidaklah mewakili populasi murid tertentu.

BAB II              SOROTAN LITERATUR

2.1          Pengenalan
              
               Status sosio-ekonomi ditakrifkan sebagai kedudukan seseorang atau kumpulan individu dalam hiraki struktur sosial. Ia bergantung kepada kombinasi beberapa pembolehubah termasuk pekerjaan, pendidikan, pendapatan, harta, tempat kediaman.  Status sosio-ekonomi sering digunakan sebagai alat untuk meramalkan tingkah laku manusia (http://dictionary.reference.com/)

2.2          Status Sosio-Ekonomi dan Pencapaian Pelajar

               Pencapaian murid di sekolah tentunya dipengeruhi oleh pelbagai faktor. Salah satu faktor yang sering dikaitkan dengan pencapaian murid ialah latar belakang atau status sosio-ekonomi. Status sosio-ekonomi dikatakan mempengaruhi modal budaya atau lebih dikenali “cultural capital”. Menurut Bourdieu (1971) seperti dilaporkan Syarifah Md. Nor (1991), cultural capital pula mempunyai peranan penting dalam mencorakkan persekolahan seseorang murid.

Sebenarnya banyak kajian yang telah dijalankan di serata dunia untuk melihat kaitan di antara status sosio-ekonomi dengan pencapian murid sekolah. Yang menjadi persoalan mengapa isu ini terus mendapat perhatian para penyelidik sehingga kini. Mungkinkah kaitan di antara status sosio-ekonomi dengan pencapaian murid berbeza mengikuti faktor geografi atau faktor budaya sesuatu bangsa?

Hasil pengamatan yang dilakukan oleh Lavin (1963) ke atas 19 penyelidikan berkaitan hubungan status sosio-ekonomi dengan pencapaian murid di Amerika Syarikat mendapati 13 kajian menunjukkan hubungan yang signifikan (Syarifah Md. Nor, 1991).

Dapatan kajian menunjukkan adanya hubungan di antara pendapatan serta tahap pendidikan keluarga dengan pencapaian akademik seseorang pelajar. Pelajar yang berasal dari keluarga berpendapatan tinggi dan mempunyai tahap pendidikan tinggi lebih cemerlang berbanding pelajar yang datang dari keluarga berpendapatan dan berpendidikan rendah seperti yang diperolehi hasil kajian Siti Nor Yaakob (1990) dalam Sapora Sipon (n.a).

Walaupun banyak hasil kajian yang telah dijalankan menunjukkan adanya hubungan signifikan di antara status sosio-ekonomi dengan pencapaian pelajar namun ini tidak bermakna mereka yang berada pada kedudukan status sosio-ekonomi rendah semestinya tidak akan berjaya dalam pelajaran. Apa yang penting adanya keinginan dalam diri seseorang pelajar untuk mencapai kejayaan. Keinginan ini hendaklah disusuli dengan usaha yang bersungguh-sungguh serta komitmen yang tinggi daripada pelajar itu sendiri. Jika ini berlaku Insya Allah pencapaian cemerlang dalam pelajaran boleh diperolehi sebagaimana apa yang telah terbukti dalam lipatan sejarah selama ini. Jika ibubapa tidak mampu untuk memainkan peranan dengan baik kerana faktor kedudukan status sosio-ekonomi rendah, maka masyarakat perlu tampil membantu agar potensi seseorang pelajar boleh digilap dan seterusnya mencapai kejayaan cemerlang dalam pendidikan (Mohamad Johdi Salleh et. al., 2009)

Ibubapa tidak seharusnya menjadikan kedudukan status sosio-ekonomi rendah sebagai alasan untuk tidak memberikan komitmen yang maksimum terhadap pencapaian akademik yang cemerlang bagi anak mereka. Ibubapa perlu bekerjasama rapat dengan para guru serta masyarakat sekeliling dalam perkara ini (Mohamad Johdi Salleh et. al., 2009).

Status sosio-ekonomi yang baik bukanlah jaminan terhadap pencapaian akademik yang cemerlang. Ia juga bukan faktor penyelamat daripada keciciran dalam pelajaran seseorang pelajar. Ini terbukti daripada hasil kajian yang dijalankan oleh Ahamad bin Rahim et. al. (n.a) terhadap kecicirin murid orang asli di SK Tekir Labu Negeri Sembilan yang mendapati bahawa faktor sosio-ekonomi tidak ada hubungan yang signifikan terhadap pencapaian murid berkenaan.

2.3          Faktor Keluarga dan Pengaruhnya terhadap Pencapaian Pelajar

               Kajian mendapati bahawa sikap ibubapa mempunyai pengaruh yang kuat terhadap pencapaian pendidikan anak-anak. Hasil kajian yang dijalankan oleh Azizi Yahya (n.a) menunjukkan bahawa minat ibubapa mempunyai hubungan yang signifikan dengan pencapaian seseorang pelajar dalam subjek tertentu. Walau bagaimanapun hasil kajian ini menunjukkan bahawa faktor ekonomi, pendidikan, bimbingan dan lain-lain pengaruhnya agak lemah.

Dapatan kajian Stigler et. al. (1982) seperti dilaporkan dalam kajian Abdullah Mohd Noor (n.a) menunjukkan bahawa pencapaian murid-murid sekolah dalam pelajaran turut dipengaruhi oleh faktor budaya keluarga seperti sikap, interaksi, bimbingan keluarga dan sebagainya.

2.4          Faktor Diri Sendiri dan Pengaruhnya terhadap Pencapaian Pelajar

2.4.1       Minat Pelajar

               Pakar-pakar motivasi sering memperkatakan tentang minat kerana ia suatu faktor penting dalam mencapai sesuatu. Misalnya pencapaian akademik seseorang murid dikaitkan dengan minat terhadap soal akademik itu sendiri. Kenyataan ini berasaskan kepada penemuan kajian oleh Unit Kerjaya dan Kaunseling Universiti Teknologi Mara (1991) seperti dilaporkan oleh Sapora Sipon (n.a) yang mendapati bahawa akibat tidak dapat mengikuti kursus yang menjadi pilihan utama pelajar, ini telah menyumbang kepada masalah pelajar itu sendiri. Walaupun dapatan ini khusus untuk pelajar di institusi pengajian tinggi namun pengajaran secara umumnya boleh digunapakai kepada murid sekolah kerana murid sekolah juga mempunyai minat tersendiri terhadap pelajaran.

2.4.2       Motivasi Pelajar

               Motivasi dikaitkan dengan pencapaian pelajar termasuk murid sekolah. Sebab itulah kem-kem motivasi, ceramah motivasi banyak dijalankan di mana-mana kerana hasil kesedaran tentang betapa pentingnya motivasi kepada seseorang tanpa mengira peringkat umur, status dan sebagainya. Motivasi yang berkesan mampu menjadi daya pendorong untuk murid sekolah memperolehi pencapaian yang cemerlang di sekolah. Hakikat ini dibuktikan oleh Mohd Zain Abd Kader (1994) seperti dilaporkan Sapora Sipon (n.a) yang mendapati bahawa motivasi yang lemah di kalangan pelajar menyebabkan kualiti pencapaian akademik yang tidak memuaskan.

2.4.3       Amalan Kerohanian Pelajar

               Bagi pelajar Islam yang berpegang dengan yakin terhadap ajaran Islam tentu sekali tidak memandang remeh pengaruh aspek kerohanian dalam menentukan pencapaian pelajaran seseorang individu. Ini kerana segala usaha yang dicurahkan dalam mencapai kejayaan dalam pendidikan tertakluk kepada kehendak Allah. Dapatan kajian oleh Mohammad Shatar (2005) dalam Salasiah Hanin Hamjah et. al. (2012) menunjukkan aspek kerohanian mempunyai kesan positif yang signifikan terhadap pencapaian dalam pelajaran seseorang pelajar.

2.4.4       Stres dihadapi Pelajar

               Tekanan merupakan isu yang sudah sebati dengan orang dewasa. Sesiapa sahaja mengalami tekanan tanpa mengira status sosio-ekonomi individu. Apa yang berbeza adalah tahap tekanan yang dialami. Perlu diingat para pelajar termasuk murid sekolah yang masih terlalu muda juga menghadapi tekanan. Bebanan pelajaran merupakan salah satu faktor penyumbang kepada tekanan yang di alami murid sekolah. Jika tidak ditangani dengan baik tekanan boleh menjejaskan pencapaian seseorang murid. Perkara ini dapat dibuktikan melalui dapatan oleh beberapa penyelidik seperti Hayati Mohamad (1988), Mara Merani (1999), Shahrozat Ibrahim (1981), Mohd Zain Kader (1995) seperti dilaporkan oleh Sapora Sipon (n.a)

BAB III             ANALISIS & PERBINCANGAN

               Analisis dan perbincangan kajian ini telah ditinjau dari aspek (a) status sosio-ekonomi ibubapa, (b) faktor diri sendiri, (c) faktor ibubapa, dan (d) faktor-faktor lain.

3.1          Status Sosio-Ekonomi Ibubapa dan Pengaruhnya terhadap pencapaian Responden

               Berdasarkan keputusan UPKK responden dapat disimpulkan bahawa murid ini telah memperolehi pencapaian cemerlang. Dengan ini dapat disimpulkan bahawa pada peringkat ini dia telah menunjukkan prestasi kognitif, Afektif dan psikomotor yang tinggi berbanding murid-murid lain. Dapatan kajian ini amat menarik kerana ia tidak selari dengan persepsi umum serta dapatan kajian-kajian sebelum ini yang mengaitkan kedudukan status sosio-ekonomi yang baik berkait rapat dengan pencapaian pelajar yang cemerlang.

Walaupun status sosio-ekonomi ibubapa responden agak rendah namun in tidak menjadi penghalang kepada responden untuk mencapai kecemerlangan dalam ujian utama iaitu UPKK. Ini seharusnya menjadi inspirasi kepada para pelajar yang mempunyai status sosio-ekonomi yang rendah untuk mencapai kecemerlangan dalam pelajaran dan tidak menjadikan status seumpama itu sebagai alasan untuk tidak berjaya.

3.2          Faktor Diri Sendiri dan Pengaruhnya terhadap Pencapaian Responden

               Responden memilih “sangat setuju” bagi semua lima soalan berkaitan faktor diri sendiri. Kombinasi kelima-lima faktor tersebut iaitu keinginan untuk berjaya, kesedaran tentang pentingnya pelajaran, motivasi untuk berjaya, cita-cita untuk berjaya dalam pelajaran, serta minat mendalam terhadap pelajaran merupakan tenaga dalaman yang menjadi faktor utama kejayaan responden dalam UPKK.

3.3          Faktor Ibubapa dan Pengaruhnya terhadap Pencapaian Responden

               Soal selidik mengandungi 17 soalan berkaitan faktor ibubapa. Responden memilih “sangat setuju” bagi 13 soalan, “setuju” bagi 3 soalan dan “sangat tidak setuju” 1 soalan.

Kedudukan status sosio-ekonomi ibubapa responden yang agak rendah selari dengan jawapan responden terhadap soalan berkaitan sokongan kewangan daripada ibubapa. Pastinya responden tidak memperolehi sokongan kewangan yang diharapkan atas faktor sosio-ekonomi ibubapa yang tidak memberagsangkan itu. Walau bagaimanapun faktor ini tidak menjadi penghalang kepada responden untuk berjaya. Perkara sebegini bukan sesuatu yang pelik. Ada kemungkinan didikan ibubapa telah berjaya menjadikan responden seolah-olah boleh menerima keadaan seumpama itu dengan hati terbuka.

Nampaknya ibubapa responden mungkin sengaja tidak memberikan sokongan dalam bentuk kewangan dengan tujuan mendidik beliau. Sumber kewangan yang agak terhad dimanfaatkan oleh ibubapa beliau untuk tujuan pembelajaran seperti membeli kelengkapan persekolahan, aktiviti-aktiviti yang boleh membantu perkembangan intelek, bersantai bersama keluarga dan sebagainya.

Dapatan kajian ini menunjukkan sikap ibubapa responden begitu cemerlang. Sikap sebegini melahirkan sikap anak yang cemerlang. Kombinasi sikap cemerlang ibubapa dan anak akhirnya berjaya diterjemahkan dalam bentuk kejayaan responden.

Ibubapa sememangnya menjadi contoh teladan anak-anak. Jika ibubapa ingin melihat anak-anak mereka mementingkan ilmu serta menyemarakkan budaya ilmu maka mereka sendiri perlu ada sikap seumpama itu. Walaupun ibubapa responden tidak mempunyai tahap pendidikan yang tinggi namun responden melihat ibubapanya mementingkan ilmu serta menyemarakkan budaya ilmu dalam keluarga sehingga beliau memilih “sangat setuju” pada soalan berkaitan. Sikap ibubapa seumpama ini patut dipuji dan dicontohi.

Responden memberikan skor “sangat setuju” terhadap beberapa soalan berkaitan peranan ibubapa dalam membantu anak-anak dalam pelajaran. Responden mengiktiraf peranan ibubapa beliau termasuk memberi motivasi, membantu menyelesaikan tugasan sekolah, memberi tunjuk ajar serta turut menunjukkan minat terhadap pelajaran anak. Ibubapa sebagai orang paling rapat dengan anak-anak seharusnya berperanan sebegini jika ingin melihat anak-anak mereka berjaya dalam pelajaran. Anak-anak memang memerlukan sokongan seumpama ini. Ini akan meningkatkan lagi semangat anak-anak dalam pembelajaran.

3.4          Faktor-Faktor Lain dan Pengaruhnya terhadap Pencapaian Responden

Kajian ini turut memuatkan 5 faktor lain yang dirasakan ada kaitan dengan pencapaian murid-murid sekolah dalam pelajaran. Responden memberikan jawapan “sangat setuju” terhadap empat soalan iaitu soalan 3.1, 3.2, 3.4, dan 3.5. Manakala jawapan terhadap soalan 3.3 “setuju”.

Galakan guru-guru serta perbincangan murid dengan mereka mempunyai kesan positif terhadap pencapaian seseorang murid seperti yang digambarkan dalam soalan 3.1 dan 3.4. Guru merupakan pembimbing yang menerangkan atau mentafsirkan ilmu yang terkandung dalam sukatan pembelajaran agar ia dapat difahami dengan jelas tanpa kekeliruan oleh pelajar. Tanpa bimbingan guru hampir mustahil kecemerlangan seseorang pelajar boleh dicapai.

Soalan 3.5 menunjukkan peranan rakan-rakan tidak kurang pentingnya dalam menentukan pencapaian seseorang murid. Perbincangan sememangnya digalakkan agar proses pembelajaran dapat dijalankan dengan lebih baik yakni mempercepatkan proses pemahaman. Jsuteru jika inginkan kejayaan dalam pelajaran aspek ini tidak boleh diketepikan begitu sahaja.

Walaupun responden hanya memberikan skor “setuju” terhadap soalan 3.3 ini tidak bermakna faktor kesihatan mental, fizikal dan emosi kurang penting dalam menentukan pencapaian seseorang murid. Bahkan sering kita dengar  minda yang cerdas itu lahir daripada fizikal yang sihat. Jawapan “setuju” yang diberikan responden menggambarkan faktor kesihatan agak kurang penting berbanding faktor-faktor lain yang mendapat jawapan “sangat setuju”. Penulis berpendapat bahawa responden perlu diberikan kesedaran yang lebih baik agar faktor kesihatan mental, fizikal dan emosi diletakkan pada kedudukan tertinggi.

BAB IV             KESIMPULAN DAN CADANGAN

4.1          Kesimpulan

Dapatan kajian ini membawa kepada beberapa kesimpulan berikut:
·         Status sosio-ekonomi bukanlah faktor penentu kejayaan seseorang murid.
·         Faktor sikap positif dan keperihatinan ibubapa terhadap pelajaran anak-anak mempunyai kaitan dengan pencapaian cemerlang seseorang murid.
·         Faktor sikap diri sendiri yang positif berkait rapat dengan pencapaian cemerlang seseorang murid dalam pelajaran.
·         Kajian ini mencapai objektif yang digariskan.
·         Kajian ini berjaya menjawab persoalan kajian yang telah digariskan.

4.2          Cadangan

               Kajian ini mempunyai keterbatasan kerana ia hanya melibatkan seorang responden. Oleh itu dapatan kajian ini lebih tertumpu kepada individu tertentu dan tidak menggambarkan populasi sebenar.

Untuk kajian yang lebih menyeluruh serta dapatan yang menggambarkan populasi sebenar, kajian perlu kepada sejumlah sampel yang diterima sebagai sampel minimum. Justeru kajian yang ringkas dan mudah ini hanya boleh digunakan sebagai kajian awalan sebelum kajian yang lebih baik yang bersifat menyeluruh boleh dijalankan.

RUJUKAN

Abdullah Mohd Noor. N.A. Pengaruh Latar Belakang Sosial Keluarga terhadap Pencapaian Sains dan Matematik di Kalangan Murid Sekolah Rendah. Universiti Brunei Darussalam.

Ahamad bin Rahim, Anuar bin Husin, dan Hashim bin Mohamad. N.A. Hubungan Faktor Keluarga terhadap Keciciran Murid Orang Asli di SK Tekir Labu Negeri Sembilan.

Azizi Yahya. N.A. Sejauh manakah Faktor Keluarga dapat Mempengaruhi Pencapaian Pelajar dalam Mata Pelajaran Bahasa Inggeris. Universiti Teknologi Malaysia. Johor.


Mohamad Johdi Salleh, Che Noraini Hashim, Ismael Hassanaen, dan Amir Hassan Dawi. 2009. Status Sosio-Ekonomi dan Komitmen Ibubapa terhadap Pencapaian Pelajar dalam Penilaian Menengah Rendah Malaysia. Institut Pendidikan Sultan Hassanal Bolkiah Universiti Brunei Darusslam.

Salasiah Hanin Hamjah, Ermy Azziati Rozali, Rosmawati Mohamad Rasit, dan Zainab Ismail. 2012. Perkaitan Amalan Spiritual dengan Pencapaian Akademik Pelajar. AJTLHE Vol.4, No.2, 51-60.

Sapora Sipon. N.A. Stres dan Pencapaian Akademik Pelajar. Buletin Psikologi. 2000/2001.

Syarifah Md. Nor. 1991. Faktor-faktor Latar Belakang yang Berkaitan dengan Pencapaian Akademik Murid Darjah Satu. Pendidik dan Pendidikan. Jld 1 1991/1992.

LAMPIRAN


A – Jawapan Responden terhadap Soal Selidik

No comments:

Post a Comment